Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM)

PMIUPM is your excellent partner

PERUTUSAN PRESIDEN PMIUPM SEMPENA TAHUN BARU HIJRAH

Posted by pmiupm di 2 Februari 2007

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH…

“Orang Muslim itu ialah orang yang selamat (daripada menyakiti saudaranya) berpunca daripada lidahnya dan tangannya. Orang yang berhijrah itu ialah orang yang dapat meninggalkan (hijrah) daripada sesuatu yang ditegah oleh Allah swt.” [Maksud Hadith Sahih]

Tabir Tahun 1427 Hijrah bakal menutup tirainya dan tahun baru Islam 1428 Hijrah bakal menyingkap tirainya. Marilah kita bersama-sama koreksi diri dan amalan kita sepanjang setahun yang telah berlalu dengan bertemankan Keunggulan Ilmu Teras Kegemilangan Ummah. Apakah ia benar-benar mendarah daging di dalam diri kita selaku hamba Allah yang bersifat intelektual?

Menyingkap kembali lipatan sejarah perjuangan Islam yang didokongi oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat. Peristiwa penghijrahan umat Islam dari kota Makkah ke Madinah di waktu itu adalah satu peristiwa yang besar dalam sejarah Islam dan permulaan takwim Islam. Namun, peristiwa hijrah ini tidak wajar hanya dilihat sebagai peristiwa perpindahan umat Islam Muhajirin ke Madinah semata-mata, yang mengarah kepada kefahaman sempit dengan menganggap kedatangan tahun baru Hijriah sebagai satu adat yang hanya disajikan dengan pelbagai program. Seolah-olah bersamaan dengan peringatan menyambut tahun baru Masihi. Malah, dikalangan ulama juga menolak pendefinisian hijrah itu sebagai satu ‘pelarian’ dan ‘arbitrasi’ seperti ditafsirkan oleh sesetengah orientalis yang sengaja mahu memutarbelitkan pengertian suci daripada peristiwa hijrah yang berlaku. Bahkan, penghayatan iktibar yang tersirat di sebalik peristiwa hijrah ini ialah tertegaknya syiar Islam secara berpelembagaan dan wujudnya sebuah kerajaan Islam di Madinah Al-Munawwarah. Inilah merupakan titik permulaan pembaharuan sistem nilai dalam hidup manusia daripada keadaan dhaif kepada keadaan yang lebih baik. Masyarakat Islam di Madinah disatukan dengan ikatan persaudaraan Islam yang dibina di atas semangat perpaduan berorientasikan ajaran Islam. Di samping itu, persefahaman dan kerjasama dengan golongan bukan Islam juga diwujudkan untuk membuktikan bahawa Islam sentiasa mengutamakan keselamatan, persefahaman, persahabatan, anti-permusuhan dan peperangan. Tegasnya, peristiwa hijrah itu membuktikan bahawa Islam bukan bererti agama dalam fahaman yang sempit dan hanya menyentuh soal ibadat khusus semata-mata, tetapi adalah suatu Ad-Deen (cara hidup) yang tersusun lagi syumul (menyeluruh) menyentuh segala perkara yang bersangkutan dengan bidang kehidupan manusia samada politik, ekonomi, sosial, ilmu pengetahuan dan sebagainya.

Perkataan hijrah bererti berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Selain itu, hijrah juga boleh diertikan berubah dari satu keadaan kepada satu keadaan. Dalam konteks yang luas, hijrah boleh difahami sebagai perpindahan dari satu keadaan yang tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. Misalnya meninggalkan ajaran yang bertentangan dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam sebenar. Di sini, marilah kita melakukan satu hijrah atau anjakan/revolusi perubahan melalui peristiwa hijrah. Marilah kita bersama-sama membelanjakan harta benda kurniaan Allah kepada jalan yang diredhai-Nya. Marilah kita berazam mensifarkan diri kita daripada meninggalkan amal ibadah fardu/wajib dan meningkatkan beberapa amalan ibadah sunat. Marilah kita mendidik dan menghiburkan hati dengan amalan yang dapat membersihkan hati kita seperti membaca Al-Quran, zikrullah, dan mendengar sesuatu yang tidak melalaikan hati daripada mengingati-Nya. Janakanlah akal atau daya keintelektualan kita dengan berusaha menggali sedalam-dalamnya khazanah ilmu-ilmu Allah yang tiada penghujungnya sama ada ilmu Fardhu ‘Ain mahupun Fardhu Kifayah. Marilah kita menanam tekad cita-cita pada tahun baru 1428 Hijrah kali ini untuk berusaha menjadikan hidup kita sentiasa diredhai dan tenang di bawah rahmat Allah SWT, insyaAllah…

Akhir kalam, sambutlah tahun baru hijrah pada kali ini dengan penuh rasa ketakwaan kepada-Nya dan menyelami sedalam-dalamnya beberapa mutiara hikmah yang tersirat di sebalik peristiwa yang penuh makna bagi umat Islam ini. Sematkanlah semangat Hijratur-Rasul s.a.w. ini ke arah merialisasikan kebebasan bagi melakukan suruhan dan meninggalkan larangan Allah S.W.T. Sesungguhnya dengan niat yang suci dan penerusan usaha bersungguh-sungguh (jihad) yang istiqamah akan mampu melestarikan matlamat peristiwa hijrah ini sebagaimana dalam maksud hadith sahih yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah r.a.: “Tiada hijrah selepas pembukaan Kota Mekah ini. Tetapi, yang tetap ada ialah jihad (perjuangan) dan niat (akan berhijrah apabila keadaan memaksa). Dan apabila kamu dipanggil untuk berjuang, hendaklah kamu tetap bersedia untuk berjuang (demi Islam).” [Riwayat Bukhari dan Muslim, dikeluarkan daripada buku “Riadus-Salihin”]

Oleh: Khairul Annuar Che Zakaria (Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UPM 2006)

Tinggalkan komen