Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM)

PMIUPM is your excellent partner

Perutusan Presiden PMIUPM sempena Maulidur Rasul 1428H

Posted by pmiupm di 31 Mac 2007

presidenAssalamu’alaikum dan salam sejahtera, salam perpaduan kepada seluruh warga UPM.

Segala pujian bagi Allah S.W.T yang sentiasa memberikan rahmatNya kepada kita samada kita dalam ketaatan atau dalam keingkaran, selawat dan salam kepada junjungan besar nabi Muhammad S.A.W, para sahabat, para aulia, ulama-ulama yang ikhlas dalam perjuangan menegakkan yang hak serta pendokong-pendokong kebenaran dalam menegakkan perkara yang makruf dan menentang kebatilan.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud :

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) ALLAH dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati ALLAH banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

(Surah Al-Ahzaab: ayat 21)

Tanggal 12 Rabiulawwal datang lagi, tarikh tersebut mengingatkan kita akan tarikh lahirnya seorang Insan yang paling Agung iaitulah Nabi kita Muhammad S.A.W. Insan yang membawa manusia daripada kejahilan kepada cahaya dan daripada perhambaan sesama makhluk kepada perhambaan mutlak kepada Allah S.A.W . Realitinya, telah menjadi kebiasaan bagi kita masyarakat Malaysia apabila tibanya tarikh ini kita akan mengadakan berbagai program seperti perarakan, ceramah, kempen dan sebagainya bagi memperingati Baginda. Tetapi dalam maksud yang tersiratnya adakah aktiviti sambutan yang kita adakan hanya sekadar program memperingati tanpa dihayati maksud yang lebih besar iaitu dengan menjadikan Nabi S.A.W sebagai contoh tauladan dan panduan dalam menjalankan kehidupan.

Justeru Bersempena dengan Maulidur Rasul ini saya yang mewakili seluruh Saf pimpinan PMIUPM ingin menyeru dan mengajak sekalian warga kampus untuk kita semua sama-sama melihat kembali dan menghayati akan risalah yang dibawa oleh nabi kita dalam bentuk yang menyeluruh terutamanya dari aspek cara hidup kita untuk sama-sama kita amalkan. Selaras dengan Tema PMIUPM kali ini iaitu Beriltizam Mengembalikan kegemilangan Ummah maka tidak lain tidak bukan cara hidup yang telah digariskan oleh Nabilah yang patut kita terokai dan amalkan agar Visi kegemilangan Umat tercapai.

Dalam aspek yang berkaitan. Mari kita lihat ke belakang dan ke depan. Masa yang dihabiskan dan akan dihabiskan. Apakah sudah memenuhi maksud serta tujuan hidup dan mati kita nanti. Untuk apa kita minta ditambah lagi umur, kalau ia merugikan? Mari kita lakukan ‘bedah siasat’ atau muhasabah sebenar-benarnya adakah ianya diisi dengan garis panduan yang diajarkan oleh Nabi daripada Allah?

Sesungguhnya umat Islam perlu berubah. Elakkan cara hidup yang sia-sia dan tidak bermanfaat. Jadikan panduan yang digariskan oleh Nabi kita ini untuk mempertingkatkan kualiti kita sebagai orang Islam. Ini kerana dunia Islam kian tercabar, dicabar dan dihina oleh musuh-musuh Islam. Umat Islam tidak dapat berbuat apa-apa melihat saudara seagamanya ditindas. Hal ini sudah dapat diramal oleh Nabi Muhammad s.a.w sejak dulu lagi, dalam hadithnya yang bermaksud:

“Umat lain akan meratah kamu dengan rakus sebagaimana orang-orang yang mahu mengelilingi hidangan makanan. Sahabat bertanya:- ” Adakah kerana bilangan kami yang sedikit pada waktu itu? Baginda menjawab:- ” Tidak, bahkan jumlah kamu masa itu banyak sebagaimana banyaknya buih di permukaan air banjir. Namun Allah mengikis perasaan gerun di dalam hati musuh terhadap kamu dan Allah mencampakkan dalam hati kamu ‘al-wahan’. Sahabat bertanya :- Apakah wahan itu Rasullullah. Jawab baginda:- “Cintakan dunia dan takutkan mati.” Marilah sama-sama kita merenung sejenak kebenaran sabda Rasullullah ini.

Selain itu, penghayatan kepada sirah nabi juaga adalah penting terutamanya untuk kita dalam menghayati akhlak dan pengorbanan dalam aspeks yang menyeluruh yang telah baginda tunjukkan. Di antaranya ialah sifat nabi yang tidak pernah putus asa dalam berdakwah sehinggalah kita dapat merasai nikmat Islam pada hari ini. Akhlak yang luhur sehingga diberi gelaran Al-Amin dan bayangkan akan baginda yang telah dijanjikan oleh Allah akan syurga tetapi masih melakukan solat malam hingga bengkak kaki baginda. Bagaimana dengan kita ? Layakkah kita untuk mengecapi syurga Allah dan menghindar diri dari neraka Allah dengan cara hidup kita sekarang ini? Harus diingat bahawa pilihan kita hanya syurga atau neraka, tiada atas pagar. Tepuk dada Tanya iman.

Akhir kata, saya mewakili saf pimpinan PMIUPM dan ahli PMIUPM ingin mengingatkan kepada diri kami sendiri, kepada seluruh warga kampus dan sidang pelawat http://www.pmi-upm.blogspot.com untuk sama-sama kita bangkit dari tidur yang lena tanpa menyedari akan hakikat kehidupan menurut Islam. Sama-samalah kita berdoa, mudah-mudahan ALLAH memanjangkan umur kita dalam beribadah. Semoga harapan mahasiswa UPM agar disegani dan dihormati dan terjana dalam menjadi Universiti di arena dunia tercapai seiring dengan matlamat menggerakkan jati diri umat Islam dalam memenuhi tuntutan mengabdikan diri kepadaNya.

Sekian.

‘Berilmu Berbakti’
Beriltizam Mengembalikan kegemilangan Ummah’

Oleh:
Mohd Hassan Bin Sukiman
Presiden,
Persatuan Mahasiswa Islam,
Universiti Putra Malaysia,
Sessi 2007/08

 

Tinggalkan komen