Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM)

PMIUPM is your excellent partner

JANGAN MENCARI TIDUR YANG CUKUP

Posted by pmiupm di 27 Mac 2007

Sudah masuk dua minggu saya menjadi pelajar sepenuh masa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Walaupun saya menyambung pelajaran untuk peringkat Master, semester ini saya dikehendaki mengambil 5 subjek prerequisite yang merupakan subjek undergraduate. Saya perlu bersyukur kerana dapat terus masuk ke kelas, sedangkan lebih 100 orang pelajar postgraduate yang mengambil peperiksaan Bahasa Inggeris bersama saya, terkandas dan dikehendaki mengambil kursus Bahasa Inggeris di CELPAD. Saya berasa sedih melihat wajah rakan-rakan yang amat bersemangat untuk menyambung pelajaran, tetapi terpaksa melupakannya seketika. Walaupun sebahagian mereka mengambil pengkhususan yang langsung tiada subjek di dalam Bahasa Inggeris (seperti Master di dalam Sastera Arab), mereka tetap dikehendaki melepasi tahap tertentu di dalam penguasaan Bahasa Inggeris. Terpaksalah bersabar seketika, dan saya harap mereka dapat mempositifkan fikiran dan menganggap ini sebagai suatu enforcement untuk mereka menguasai Bahasa Inggeris. Kadang-kadang kita hanya dapat melihat potensi diri sebenar apabila terdesak dan terpaksa.

Saya bersyukur kerana menjadi salah seorang daripada 19 orang yang dibenarkan untuk terus ke kuliah. Alhamdulillah.

Saya tidak kisah langsung malah amat gembira apabila diarahkan oleh Jabatan untuk mengambil lima subjek prerequisite berkenaan sebab saya masuk ke program Master di dalam Sejarah dan Tamadun sedangkan ijazah pertama saya dahulu adalah di dalam bidang Syariah. Apatah lagi, saya sudah bertahun-tahun meninggalkan kuliah di universiti. Elok juga warm-up satu semester. Semester ini saya mengambil subjek Modern History of Europe, History of Malaysia II, Rise and Fall of Civilizations dan Islah / Tajdid Movements in Muslim World.

Setelah dua minggu, saya dapat merasakan betapa bezanya pengajian saya kali ini berbanding dengan situasi semasa saya belajar di Jordan dahulu. Perbezaan yang saya maksudkan itu, adalah dari segi keghairahan saya terhadap mata pelajaran yang diajar. Saya sudah menempuh pelbagai halangan dan rintangan sebelum ini, dan akhirnya saya berjaya memasuki program yang paling bertepatan dengan minat serta kecenderungan saya iaitu SEJARAH. Mata saya hampir terbeliak di dalam setiap kelas kerana terasa begitu bersyukur lagi beruntung dapat berada di mana saya berada hari ini.

Saya sudah habiskan 20 siri perjalanan ke Turki demi menyiapkan diri ke arah menyambung pelajaran di sana. Saya sudah berkawan malah duduk serumah dengan pelajar-pelajar Turki yang membuat Master dan PhD di bidang sejarah, dan mereka juga telah memperkenalkan saya kepada ramai pensyarah terkemuka di Turki yang mengajar di Fakulti Pendidikan Ataturk, di Goztepe Istanbul serta Fakulti Ilahiyat di Bağlarbaşı Istanbul. Kedua-dua fakulti itu adalah di bawah Universiti Marmara, salah sebuah universiti terkemuka di Turki. Paling menyeronokkan apabila saya berpeluang berkenalan dan menjadi sahabat kepada Profesor Alparslan Açıkgenç, salah seorang tenaga pengajar yang lama berkhidmat di ISTAC. Bahasa Turki sudah dipelajari, Bahasa Othmaniyyah sudah didekati, malah saya sudah mula mempelajari Bahasa Parsi. Semuanya demi memenuhi cita-cita saya menguasai bidang Sejarah, khususnya Pengajian Othmaniyyah.

Tetapi nasib tidak menyebelahi saya. Terlalu banyak halangan dan rintangan yang telah saya tempuhi, dan saya menyangkakan bahawa kombinasi HASRIZAL-SEJARAH sudah tamat. Saya perlu akur bahawa saya bukan di situ. Namun, saya amat bersyukur di atas kepercayaan yang diberikan oleh Fitrah Perkasa kepada saya untuk saya menyambung pelajaran di bidang yang diyakini, saya boleh melakukan yang terbaik, Insya Allah.

Semua subjek yang saya pelajari semester ini, menarik perhatian saya dan menyuluh kepada pelbagai dimensi kehidupan. Mempelajari Sejarah Eropah dan berkenalan secara mendalam, manusia-manusia bernama Plato, Homer dan karya-karya seperti Iliad dan Odyssey, malah seawal epik Gilgamesh, telah memberikan kefahaman yang lebih jelas tentang asas tamadun Eropah. Enlightenment yang menemukan saya dengan nama-nama seperti Louis XIV, Thomas Aquinas, Locke, Descartes, Isaac Newton, Michaevelli, Jean-Jacques Rousseau, Voltaire dan Immanuel Kant telah benar-benar menginsafkan saya bahawa segala pengalaman hidup dan kerja saya di Ireland dahulu, amat berhajatkan kepada mendalamnya pengetahuan saya terhadap nama-nama itu tadi. Alangkah bagusnya jika semua ini saya pelajari sebelum saya bertugas di Belfast.

Saya telah sampai kepada suatu kesimpulan dan ia dipersetujui oleh Prof. Abdullahil Ahsan siang tadi, bahawa penentangan Barat terhadap Islam hari ini, bukanlah semata-mata di atas kesilapan fakta atau sentimen Kristianiti. Sebaliknya, world-view dan paradigma Barat yang trauma terhadap ‘agama Kristian’ telah menjadikan mereka melihat Islam dari kaca mata yang salah. Maka pembetulan persepsi Barat terhadap Islam tidak boleh dilakukan hanya melalui lambakan fakta semata-mata, tetapi ia mestilah menjurus kepada membetulkan mind-setting mereka agar melihat Islam bukan seperti generasi pasca Enlightenment menilai Kristianiti. Malah kebanyakan orang Kristian yang saya temui di Ireland, berfikiran sekular bukanlah dalam erti kata mereka menolak agama dan Ketuhanan, tetapi mereka menolak konsep agama yang berinstitusi, lantaran rekod buruk gereja di era Zaman Gelap Eropah. Dan ia menyulitkan orang Kristian mendekati Masjid kerana masjid dilihat sebagai institusi agama, seperti gereja yang cemar itu.

Sungguh kuat Islam dan al-Quran, apabila fenomena penyelewengan paderi dan gereja ini, telah pun diakui oleh al-Quran di dalam surah al-Taubah ayat 34. Maka saya kira pendakwah sangat perlu kepada memahami Sejarah, kerana sesungguhnya manusia dan tamadunnya berputar pada pusingan Sunnatullah yang sama.

Jadi, setiap hari saya ke kelas dengan penuh semangat dan minat. Berbeza sekali dengan mood saya semasa belajar di Jordan. Malah ada kawan yang menganggap saya seperti mangsa kahwin paksa yang sebumbung tanpa cinta. Masakan tidak, selama bertahun-tahun saya di Jordan, tidak sampai 20 kali saya solat Jumaat di Mu’tah. Hampir setiap hujung minggu saya akan ke Amman, 250 km ke utara.

Walaupun begitu, minat serta semangat saya untuk belajar turut berdepan dengan cabaran yang besar. Cabaran yang saya maksudkan itu adalah cabaran MASA. Bekerja sepenuh masa dan belajar sepenuh masa, di samping menjadi ayah sepenuh masa, serta suami sepenuh masa, sudah cukup besar. Ditambah lagi dengan tanggungjawab dakwah, tarbiyah dan pelbagai badan yang saya sertai, semuanya menuntut komitmen yang sukar ditolak ansurkan. Dan malam ini saya mengalami kebuntuan.

Setiap pagi, saya mesti keluar dari rumah seawal 6:30 pagi. Saya berjalan kaki meredah kegelapan subuh di celah-celah lorong Taman Midah untuk ke jalan besar dan ia memakan masa sekitar 20 minit. Kadang-kadang awal sedikit apabila dikejar atau disergah anjing. Kemudian saya akan mengambil bas dari Taman Midah ke Stesyen LRT Taman Maluri. Dari situ, saya akan menaiki LRT ke Masjid Jamek dan kemudian bertukar tren untuk ke Terminal Putra. Saya mesti sampai di Stesyen Terminal Putra sebelum pukul 8 pagi, kerana bas Rapid KL 231 akan bertolak ke kampus UIA tepat jam 8. Jika terlepas, saya terpaksa mengambil teksi.

Bunyinya payah, bagi yang biasa berkereta. Tetapi selepas 11 tahun hidup di perantauan, terutamanya 6 tahun di UK dan Ireland, soal menaiki kenderaan awam ini sudah menjadi kebiasaan. Isteri saya memerlukan kereta ATOS kami untuk menghantar dan mengambil anak di nurseri. Dan saya seperti biasa, meneruskan rutin menaiki tren yang sudah menjadi sebahagian hidup saya semenjak 1998 lagi. Faedah menaiki LRT ini ada beberapa. Antaranya:

1. Saya dapat membuat bajet masa yang hampir tepat iaitu 1 jam 30 minit dari pintu rumah ke pintu kelas.

2. Saya dapat menjimatkan duit minyak dan maintainance kereta serta tol (MRR2 tiada tol – mungkin sebab itu ia retak)

3. Saya dapat membaca di sepanjang perjalanan. Berita terkini akan saya update di dalam PDA Palm Tungsten T5 saya dengan menggunakan aplikasi AVANTGO. Manakala artikel-artikel yang saya perlu baca sebagai bahan pembelajaran, saya convert kepada ISILO

Tiga faedah di atas amat saya hargai terutamanya peluang membaca. Saya berasa terkilan jika ada pelajar undergraduate yang bujang, duduk di Mahallah dan apatah lagi jika tidak aktif dengan aktiviti persatuan, membuat pengakuan tidak membaca, dengan begitu selamba tanpa ada rasa bersalah. Sedangkan saya terpaksa mencuri masa di dalam LRT, atau bangun awal pagi, dan biasanya memilih untuk tidur lewat semata-mata untuk membaca.

Dalam masa yang sama, saya dijemput untuk berceramah di pelbagai institusi dengan peserta yang berbeza, serta tajuk yang berlainan. Setiap ceramah itu memerlukan saya kepada membuat slide PowerPoint© dan ini menjadi sebahagian besar daripada kerja yang mencuri masa tidur saya.

Sudah tentu, cabaran di waktu malam yang paling menguji adalah tangisan dua anak kecil yang merengek meminta susu. Kalau adik Naurah, selalunya dia akan menangis sekitar jam 2 pagi dan Saiful Islam pula akan menangis khusus untuk marahkan saya kerana pulang lewat malam. Ia sering berlaku apabila saya memberi kuliah Maghrib, yang menyebabkan saya sampai di rumah selewat jam 10:30 malam malah mencecah tengah malam. Saiful Islam marah kerana saya pulang selepas dia tidur dan keluar sebelum dia terjaga. Maka komunikasi antara saya dengannya hanya berlaku apabila dia terjaga di tengah malam. Marah 5 minit, berbual 2 minit, sebelum menyambung tidur semula.

Paling menyedihkan, isteri yang sering ditinggalkan. Dalam keadaan berbadan dua, ditambah pula dengan bebanan pengajian Masternya di bidang Perubatan Kecemasan, dia banyak berkorban, hingga saya rasa tidak layak mengeluh. Syukurlah perkahwinan kami dibina di atas expectation yang realistik sejak hari cincin disarung ke jari. Moga dirinya terus sabar khususnya 4 tahun mendatang di mana kami berdua saling terbeban oleh pengajian masing-masing, di samping kerja sepenuh masa yang sudah sedia mencabar.

Hari ini saya sangat mengantuk dan sukar untuk menumpukan perhatian kepada kelas Rise and Fall of Civilization. Selasa dan Khamis adalah hari yang paling mencabar kerana saya perlu menghadiri tiga kelas yang bersambung-sambung dari jam 8:30 pagi hingga 1:20 tengah hari. Selepas solat Zohor saya bergegas pulang ke rumah kerana ada tugasan keluarga yang perlu diselesaikan. Akan tetapi, saya tidak dapat berdiri dan terpaksa mencari bangku untuk duduk di dalam LRT. Selepas melabuhkan diri, saya terus terlelap dan sedar-sedar saya sudah terlepas lebih 4 stesyen. Saya berpatah balik dari Stesyen Taman Paramount untuk ke Masjid Jamek, dan saya tahu, mengantuk saya sudah tidak dapat dikawal.

Selepas Asar, saya biarkan sahaja anak-anak memanjat diri saya seketika, sebelum terlelap. Isteri saya mengejutkan saya untuk bersiap kerana selepas Maghrib, saya perlu memberi Kuliah di Kolej Tun Dr Ismail, di Hospital UKM.

Malam ini saya perlu menyiapkan dua slide untuk ceramah saya di Wad Kecemasan jam 8 pagi esok, serta ceramah untuk ibu bapa pelajar sekolah di Sentul Sabtu ini. Mata berpinar-pinar dan saya tahu saya tidak boleh berangan untuk mencari masa tidur kerana esok, saya akan berceramah, dan kemudian ke pejabat di Damansara Damai dan menghadiri dua mesyuarat dari jam 3 petang hingga 11 malam. Sabtu pula ceramah di waktu siang dan Ahad program sepanjang hari di sebuah sekolah di Jenjarum. Isnin ke kelas semula.

Bila nak qadha’ tidur ini?

Dulu saya pernah rasa tertekan kerana sentiasa mencari masa untuk menggantikan waktu tidur. Tetapi akhirnya saya tersedar bahawa waktu tidur saya tidak akan cukup. Dua anak meningkat dewasa, dan Insya Allah hujung tahun ini tiba cahaya mata ketiga, dan rutin bangun malam saya akan diteruskan lagi untuk dua tahun yang akan datang. Kerja-kerja pejabat dan pengajian tidak akan berkurang, di samping kerja-kerja dakwah dan tarbiyah yang serius.

Saya hanya berasa lega apabila mengubah mind setting bahawa janganlah dicari masa untuk mencukupkan tidur, sebaliknya tidurlah sebaik-baiknya pada masa-masa yang kita boleh tidur. Bersyukur dengan apa yang ada.

Kesimpulan saya sebelum melelapkan mata malam ini, jangan sekali-kali menjadikan SIBUK sebagai alasan kerana SIBUK itu adalah nama lain bagi sebuah kehidupan yang bermakna. Ya Allah, janganlah Kau matikan aku semasa aku duduk bergoyang kaki. Allahumma yassir wa laa tu’assir ya Kareem.

ABU SAIF @ saifulislam.com

56000 Cheras, 21 Julai 2006, 2:06 pagi.

 

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: