Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM)

PMIUPM is your excellent partner

TAHNIAH MAHASISWA BAHARU

Posted by pmiupm di 10 Julai 2007

Soff kepimpinan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas atas kejayaan mahasiswa dan mahasiswi baharu yang telah berjaya mendaftar sebagai mahasiswa baharu UPM. Kejayaan yang dicapai ini merupakan satu kebanggaan dan amanah yang perlu disyukuri.

Sesungguhnya memang ramai sekali lepasan STPM dan matrikulasi yang telah mencuba untuk menjadi mahasiswa UPM. Dalam banyak-banyak itu maka anda telah terpilih sebagai seorang yang bertuah. Persatuan Mahasiswa Islam UPM yang mana berteraskan menjaga kebajikan mahasiswa Islam UPM amat berbesar hati untuk membantu mahasiswa baharu dalam menempuh alam kampus yang penuh cabaran ini. Dekatilah ahli-ahli dan exco-exco PMIUPM. Kunjungilah bazar persatuan kami.

Semua sedia maklum bahawa memasuki alam kampus bermakna kita telah memasuki era dan alam baru yang penuh dengan cabaran. Justeru, Kami dengan rasa rendah hati menghulurkan secebis nasihat dalam lembaran ini. Setapak ke alam kampus amat menuntut kita untuk menyesuaikan diri dengan segera. Kita perlu segera mencari sahabat-sahabat yang berakhlak mulia dan bermatlamat jelas iaitu ingin menuju kecemerlangan diri di kampus ini. Kesilapan memilih sahabat mampu menancurkan cita-cita kita dan ibu bapa kita.

Dalam aspek akademik, sewajarnya kita menjadi mahasiswa yang tidak lekang bertanya. Bertanya merupakan kunci kepada ilmu. Pensyarah-pensyarah jangan kita jauh. Rapat dengan pensyarah menjadi resepi kejayaan pelajar-pelajar cemerlang di UPM. Selain itu, kita hendaklah menjadi mahasiswa yang proaktif dalam membuat persiapan akademik. Penting bagi kita untuk mendapatkan nota kuliah lebih awal dan menelaahnya sebelum kuliah. Janganlah kita alpa pula, selepas kuliah semestinya kita mengulangkaji kembali nota kuliah agar kita tidak menjadi cepat lupa terhadap ilmu yang kita peroleh.

Namun, dalam perlumbaan kita mengejar kecemerlangan janganlah kita pula lupa akan tanggungjawab kita selaku khalifah Allah di muka bumi ini. Khalifah di muka bumi bermaksud mentadbir alam ini dengan penuh keimanan dan ketakwaan. Untuk menggapai matlamat itu kita perlulah menanam cita-cita untuk menjadi seorang Mukmin profesional. Mukmin Profesional bermaksud individu mukmin yang cemerlang dalam bidang akademiknya disamping tidak lupa sumbangannya kepada Islam terutama dari segi kepakaran dirinya dan dalam usaha dakwah. Cita-cita ini hanya dapat kita digapai dengan menjadi mahasiswa yang wasatiah (seimbang) iaitu disamping kita cemerlang dunia (akademik), kita juga tidak lupa untuk cemerlang juga di akhirat (rohani). Dalam hal ini, kami ingin sarankan agar mahasiswa baharu hendaklah istiqamah (berterusan) melakukan solat berjemaah di surau, menyertai usrah dan menghadiri majlis-majlis ilmu atau tazkirah dimana sahaja.

Akhirnya, kami, soff kepimpinan dan ahli Persatuan Mahasiswa Islam UPM mendoakan kesejahteraan dan kecemerlangan mahasiswa dan mahasiswi sekalian. Sesungguhnya alam kampus merupakan platform persiapan terakhir sebelum kita menempuh cabaran yang sebenar apabila kita keluar dari kampus kelak.

Ashabulyamin Bin Ayoub
Exco Penerbitan
Persatuan Mahasiswa Islam
Universiti Putra Malaysia (PMIUPM)
Sesi 2007/2008

 

Tinggalkan komen