Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM)

PMIUPM is your excellent partner

KEPIMPINAN BARU PENERUSAN MATA RANTAI PERJUANGAN

Posted by pmiupm di 26 Februari 2007

“Dan hendaklah ada dikalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, mereka itulah orang-orang yang beruntung.” [surah Ali-Imran: 104]

Perjuangan menegakkan Islam yang dipelopori oleh Rasulullah saw, dan kemudiannya oleh para sahabat hendaklah diteruskan bagi mengembalikan kegemilangan ummah. Mata rantai perjuangan ini tidak boleh putus walaupun menghadapi mehnah dan tribulasi yang sangat mencabar, kerana perjuangan menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar adalah suatu tugas yang wajib dilaksanakan oleh pendokong-pendokong Islam. Bagi yang memahami erti perjuangan ini, tidak ada alasan untuk duduk rehat dan bersantai apatah lagi berada di era keruntuhan ummat yang diserang oleh pelbagai produk-produk Yahudi dan serangan pemikiran yang melemahkan umat Islam.

“Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu.” [surah Muhammad: 31]

 

Transaksi peralihan kepimpinan di dalam organisasi Islam adalah suatu sunnah di dalam perjuangan. Apa yang penting ialah penerusan agenda perjuangan bagi menggapai kembali kegemilangan umat Islam. Wasilah kepada perjuangan ini mesti diperkasakan dan terus digerakkan untuk kepentingan ummah. Mengimbau sewaktu kewafatan Rasulullah saw, beberapa orang para sahabat Baginda yang agung seperti Saidina Abu Bakar r.a. dan Saidina Umar r.a. meninggalkan jenazah Rasulullah untuk diuruskan oleh ahli keluarganya lalu menuju ke Saqifah Bani Saadah bagi menyelesaikan masalah berkaitan perlantikan khalifah yang memimpin umat Islam di mana kesudahannya membawa kepada perlantikan Saidina Abu Bakar r.a. sebagai khalifah Islam yang pertama menggantikan Rasulullah saw. Ini memperlihatkan kepada kita kepentingan kepimpinan di dalam organisasi Islam bagi meneruskan agenda mengembalikan kegemilangan ummah. Justeru, Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM) dengan saf exco kepimpinan yang baru beriltizam untuk terus menggerakkan organisasi persatuan dakwah ini dengan bertemakan “Berilitizam Mengembalikan Kegemilangan Ummah” pada sesi baru 2006/07 kali ini.

PMIUPM akan terus istiqamah melaksanakan agenda dakwah di kampus hijau ini bagi mewujudkan biah solehah di samping cuba dengan sedaya upaya mendokong agenda perpaduan di kalangan mahasiswa yang pelbagai bangsa dan kaum. Inilah di antara tuntutan yang mesti dilaksanakan.

“Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan serta menjadikan kamu berbangsa dan bersuku-suku; supaya kamu saling kenal-mengenali sesame kamu. Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” [surah al-Hujuraat: 13]

PMIUPM meyakini dengan prinsip sebagai warga menara gading ini sebagai tempat menerokai khazanah ilmu dan mengasah daya keintelektualan yang tinggi; tidak akan membiarkan prinsip pegangan ini dirosakkan dengan perlakuan atau aktiviti yang tidak menggambarkan sifat sebagai seorang kemahasiswaan. Bahkan, inilah ruang dan harapan besar yang masih ada bagi PMIUPM ke arah mengembalikan biah solehah atau suasana yang baik dan harmoni di dalam kampus ini khasnya dan di negara kita ini secara amnya. Di samping, anasir aliran pemikiran dan budaya yang bakal merosakkan nilai jatidiri dan keintelektualan sebagai seorang mahasiswa Islam; akan ditangani secara tegas serta berusaha menonjolkan keperibadian cendekiawan Muslim yang hakiki.

“…Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [surah al-Mujaadalah: 11]

PMIUPM juga menanam tekad di tahun baru hijrah ini untuk membawa ke hadapan dengan membincangkan dan bertindak menyelesaikan beberapa isu yang berlaku di lapangan masyarakat sama ada di kampus, di peringkat nasional mahupun di peringkat antarabangsa. Mahasiswa selaku waris kepimpinan masa depan negara tidak wajar untuk tenggelam di dalam arus keseronokan dan terperangkap di dalam ruang lingkup suasana pembelajaran secara formal semata-mata.

Tinggalkan komen